27 Ogos 2017 - 12:47
4 Jam Serang Masjid

Mangsa serangan pengganas di sebuah masjid Syiah yang penuh dengan jemaah menunaikan solat Jumaat di sini kelmarin meningkat kepada 28 orang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Mangsa serangan pengganas di sebuah masjid Syiah yang penuh dengan jemaah menunaikan solat Jumaat di sini kelmarin meningkat kepada 28 orang.

Suasana pilu menyelubungi komuniti itu semalam apabila keluarga dan rakan mangsa membawa satu demi satu jenazah mangsa ke kawasan perkuburan untuk dikebumikan.

Empat penyerang membaling bom tangan dan melepaskan tembakan rambang di Masjid Imam Zaman ketika berpuluh-puluh lelaki, wanita dan kanak-kanak solat Jumaat.

Penyerang berlindung di masjid itu selama empat jam sebelum pasukan keselamatan menyerbu rumah ibadat berkenaan untuk membebaskan lebih 100 yang lain.

Lebih 50 orang cedera dalam serangan itu yang menunjukkan tahap keselamatan di Afghanistan semakin buruk.

Puluhan kasut milik mangsa dilihat dilonggokkan di depan pintu masjid yang dikawal ketat oleh polis.

Tudung yang berlumuran darah terbiar bersama beberapa kitab al-Quran dan sejadah yang hangus terbakar di dalam masjid.

Beberapa jam selepas serangan, para pengganas daripada kumpulan pengganas Takfiri Daesh mengaku bertanggungjawab ke atas serangan kejam tersebut.

“Kami selalu hadir bersama-sama ke masjid ini tetapi hari ini saya mengebumikan jenazah mereka di sini,” kata Hussain Ali, yang kehilangan seorang rakan dalam serangan itu.

Katanya, serangan itu menunjukkan kegagalan pihak kerajaan di dalam memberikan perlindungan keselamatan kepada warga awam.

“Ini bukan kali pertama dan ia terus lagi berlaku. Orang yang datang ke upacara pengebumian juga masih takut sekiranya serangan berlaku semula,” jelasnya.